Nota: Aku just nak share betapa kayanya pak2 arab disanun. Aku seriously hope that they will actually do something to help the palestinians. Kalau depa tak, meh sama2 kita tuju depa kat akhirat sok.
Wang ubah nasib City
GELARAN “trillion dollar man” menjadi tajuk utama beberapa akhbar seluruh dunia apabila majalah FourFourTwo menyenaraikan Sheikh Mansour bin Zayed al Nahyan sebagai orang paling kaya dalam bola sepak Britain ketika ini.
Pengumuman itu bukan mengejutkan, tapi kekayaan lumayan pemilik Manchester City itu yang lebih sekali ganda daripada bos Chelsea, Roman Abramovich, mencuri tumpuan.
Mansour mempunyai kekayaan peribadi berjumlah £15 bilion (RM78b) mengatasi Abramovich yang memiliki kekayaan £7b (RM36.4b).
Abramovich buat pertama kali dalam tempoh lima tahun kehilangan kedudukan nombor satu dengan jatuh ke tangga ketiga, di belakang tokoh perniagaan kelahiran India, Lakshmi Mittal dan keluarga yang memiliki kepentingan dalam Queens’ Park Rangers. Mittal mempunyai kekayaan bernilai £12.5b (RM65b).
Apa yang jelas kehadiran Mansour mengubah reputasi City daripada sebuah kelab biasa Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada pasukan terkaya dunia.
Kekuatan kewangan mereka terbayang apabila pantas membeli Robinho dari Real Madrid, malah Dr Sulaiman al Fahim yang bertanggungjawab menguruskan pembelian City, berulang kali menyatakan mereka akan mendapatkan Cristiano Ronaldo dan Kaka selepas ini.
Namun, semuanya itu tidak akan berlaku jika Mansour bukan peminat sukan. Dia pengerusi Kelab Bola Sepak Al Jazeera dan Pihak Berkuasa Perlumbaan Kuda Emiriah. Dia cekap menunggang kuda dan memenangi beberapa kejohanan di Timur Tengah.
Dianggap lelaki misteri kerana tidak banyak yang diketahui mengenainya, dia dan kaum keluarganya dianggarkan mempunyai kekayaan AS$1 trilion (RM3.5 trilion) yang banyak digunakan untuk membeli aset asing antaranya Chrysler Building New York dan memegang kepentingan dalam Ferrari.
Mansour salah seorang daripada 19 anak Sheikh Zayed bin Sultan al Nahyan yang juga kaum kerabat diraja Abu Dhabi, di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Dia juga ahli kabinet Abu Dhabi selain menjadi pengerusi kepada First Gulf Bank dan International Petroleum Investment Company.
Sumber kekayaan keluarganya datang dari minyak yang ditemui di Abu Dhabi pada 1958, tahun bermulanya pertukaran status ekonomi Abu Dhabi daripada perikanan kepada negeri yang lebih berkuasa.
Dianggarkan setiap kali harga minyak naik AS$1, Abu Dhabi memperoleh AS$500 juta (RM1.78b) sehari.
Keluarga al Nahyan cukup sinonim dengan kekayaan dan menerusi akaun peribadinya, Mansour membelanjakan £210 juta (RM1.1 bilion) untuk membeli 90 peratus kepentingan Manchester City.
Dia berkahwin dengan Sheikha Manal binti Mohammed bin Rashid Al-Maktoum, anak pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum.
Mansour memang berminat untuk melabur dalam EPL dan peluangnya hadir pada musim panas lalu apabila bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mengumumkan dia mahu menjual pegangannya.
Julai lalu, Thaksin memulakan perbincangan dengan tiga pelabur Timur Tengah tapi identiti mereka tidak diketahui.
Di Abu Dhabi, Mansour meminta rakan kongsi, Dr Sulaiman, ketua eksekutif Hydra Properties, mewakilinya untuk berhubung dengan Thaksin dan menguruskan pembelian pegangan itu.
Ketika ini, dia dilaporkan kurang gembira dengan prestasi tidak menentu City dan November lalu, mengadakan pertemuan dengan pengurus kelab, Mark Hughes, untuk mengesan sendiri masalah dihadapi kelab.